Thursday, May 5, 2011

Ibu :)

Assalamualaikum...

Apabila berbicara soal insan yang terpilih oleh Allah ini (Ibu), sudah pasti tidaklah dapat terungkap oleh kata-kata mahupun tulisan akan besarnya jasa & pengorbanan seorang ibu. Dialah insan yang mengandungkan, melahirkan, membesarkan dan berkongsi suka dan duka anak-anaknya tanpa mengenal erti mengeluh.

Sudah pasti kita semua mengetahui bagaimana wujudnya kita di janin seorang ibu dan bagaimana peritnya sakit yang ditanggung seorang ibu tatkala melahirkan anak yang dikandung selama 9 bulan.

>Adalah lebih baik saya menyediakan 1 post khas tentang proses kejadian manusia yang boleh anda rujuk sebagai renungan tentang besarnya martabat seorang Ibu yang dipilih oleh Allah sebagai tempat berlakunya proses kejadian tersebut.<
Setelah melahirkan tugas seorang ibu menjadi semakin besar. Dialah yang menjaga, mendidik dan membesarkan anak-anak agar menjadi insan yang berguna bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga kepada agama, bangsa dan negara. Seorang anak wajib mentaati dan menghormati ibu sekalipun berlainan agama. Seperti yang dinyatakan dalam hadith riwayat Muslim:-

Dari Asma' binti Abu Bakar r.a katanya: "Ketika terjadi genjatan senjata dengan kaum Quraisy, Ibuku yang ketika itu masih musyrik datang kepadaku. Lalu aku meminta izin Rasulullah s.a.w dengan berkata: 'Ya Rasulullah, Ibuku datang kerana beliau rindu padaku. Bolehkah aku menemuinya?' jawab Rasulullah s.a.w, 'Ya boleh! Berjumpalah dengan Ibumu.'"

Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud: " Syurga itu di bawah tapak kaki Ibu."

Ini sudah cukup membuktikan betapa besarnya martabat seorang Ibu dalam Islam. Maksud ‘syurga di bawah tapak kaki ibu’ menunjukkan bahawa jaminan seseorang anak itu untuk memasuki syurga Allah akan dapat dipenuhi dengan mentaati ibu. Ini dapat dilakukan dengan mentaati segala perintah ibu selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam serta menjadi anak yang soleh/soleha yang sentiasa mendokan orang tuanya. Tiadalah Redha Allah ke atas seseorang itu sehingga ibu dan ayahnya redha ke atasnya.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Redha Allah bergantung pada redha kedua ibu & bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua ibu & bapa."

Ibu..pengorbananmu tiadalah dapat kami membalas. Walau kami mengusungmu mengelilingi ka'abah untuk menunaikan Ibadah Haji, namun masih belum terbalas setitik air susumu yang masuk ketubuh kami. Buat seluruh Ibu di dunia; Ibu, engkaulah ratu hati kami. Semoga Allah sentiasa mengampuni segala kesalahanmu...Semoga Allah akan meredhai kehidupanmu...Semoga tersedia Jannah untukmu di akhirat nanti...Amin~!

"Rabbighfirli waliwalidayya warhamhuma kama rabbayani shaghiran"

Ertinya: "Ya Tuhanku, ampuni dosaku dan dosa Ayah serta Ibuku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sewaktu aku masih kecil"

Amin Ya Robbal ‘Alamin...~! :)



Mother I ❤ U

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...